Adakah Diri Dilindungi?

By | Februari 8, 2014

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Perlindungan-data

Sebentar tadi yeop menonton siaran NTV7 melalui Edisi 7 mengenai maklumat peribadi didedahkan oleh sebahagian pemain syarikat Malaysia terutamanya. Dari diskusi tadi, yeop merasakan tidak cukup maklumat mengenai akta ini. Akhirnya yeop buat keputusan untuk mencari melalui Carian Google Malaysia. Laman web www. pdp.gov.my, segala informasi mengenai data peribadi semuanya di situ. Dari laman web tersebut, data peribadi boleh dikatakan sebagai:

Data peribadi bermaksud apa-apa maklumat yang digunakan di dalam transaksi komersial yang berhubungan secara langsung atau tidak langsung dengan seseorang subjek data yang dikenalpasti daripada maklumat tersebut. Data tersebut boleh direkodkan sama ada secara manual atau elektronik meliputi perkara-perkara objektif dan juga subjektif tanpa mengira sumber maklumat itu diperolehi meliputi maklumat asas (contohnya nama, alamat dan nombor kad pengenalan) sehinggalah ke maklumat sensitif (contohnya rekod perubatan dan tahap kesihatan) atau apa-apa informasi lain yang ditetapkan Menteri di bawah APDP dari semasa ke semasa.Antara contoh “data peribadi” adalah seperti:-

  • Nama dan alamat

  • nombor kad pengenalan

  • nombor pasport

  • maklumat kesihatan

  • e-mel

  • gambar

  • imej dalam rakaman litar tertutup (CCTV)

  • maklumat dalam fail peribadi

  • Butiran akaun bank

  • Butiran kad kredit

  •  Maklumat kesihatan (sensitif) contohnya, penjenisan darah, rekod atau huraian kesihatan sehinggalah ke maklumat-maklumat sensitif seperti kepercayaan politik, kepercayaan agama, keadaaan fizikal atau mental atau apa-apa informasi lain yang ditetapkan oleh Menteri di bawah APDP dari semasa ke semasa.

Tahukah kome, kita sebagai pengguna wajib mengetahui prinsip perlindungan.

7 PRINSIP PERLINDUNGAN DATA PERIBADI

Wajar orang ramai mengetahui bagaimana data peribadi kita diperolehi dan menyedari akan 7 Prinsip Perlindungan Data Peribadi yang disaran oleh APDP 2010 (Akta 709) iaitu :-

7 Prinsip Perlindungan Data Peribadi yang wajib dipatuhi di bawah seksyen 5(1) dalam Akta  709 ini demi menjaga keutuhan data peribadi :-

• Pertama –  Prinsip Am di mana seseorang pengguna tidak dibenarkan memproses data peribadi seseorang lain tanpa kebenarannya. Pengertian proses di sini harus dimengertikan sebagai mengendalikan data melalui cara atau kaedah automatis atau pengkomputeran atau apa-apa proses lain.

• Kedua – mesti mematuhi Prinsip Notis dan Pilihan di mana makluman dan tujuan awalan dimaklumkan kepada subjek data berkenaan.

• Ketiga – ialah Prinsip Penzahiran tujuan data peribadi seseorang subjek itu demi mengenal pasti maksud yang baginya data peribadi itu hendak dizahirkan.

• Keempat –  Prinsip Keselamatan – apabila memproses data peribadi mana-mana subjek, mengambil langkah supaya data tersebut selamat, tidak diubahsuai, disalahguna atau diberikan kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan.

• Kelima  – Prinsip Penyimpanan: sesuatu data peribadi itu tidak dibenarkan disimpan di dalam sesuatu pemprosesan lebih daripada had masa yang diperlukan.

• Keenam  –  Prinsip Integriti Data – setiap data peribadi dipastikan supaya tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini menepati maksud sesuatu data itu disimpan dan diproses.

• Ketujuh – Prinsip Akses: seseorang hendaklah diberi hak akses kepada data peribadinya yang dipegang oleh seseorang pengguna data dan juga boleh membetulkan datanya itu supaya terkini.

Oleh  yang demikian, rakyat Malaysia khususnya perlu menyedari hak-hak mereka mengikut prinsip-prinsip yang terdapat di dalam Akta ini.

Jadi, syarikat atasan atau individu ketiga wajib mengikut akta yang dibina untuk kepentingan rakyat, ya kome yang sedang membaca ini.

KETAHUI HAK-HAK ANDA

Anda mempunyai hak-hak apabila seseorang atau organisasi mengambil dan merekodkan butir-butir perbadi anda untuk tujuan transaksi komersial.

1. Diberitahu tujuan data peribadi kita diproses oleh sesuatu organisasi atau dalam kata lain untuk apa? Pengguna data yang mendapatkan maklumat peribadi anda hendaklah memberikan:-

• Nama organisasi atau orang yang mengumpul maklumat atau dari mana mereka mengumpul maklumat ;

• Sebab-sebab mereka memerlukan data peribadi;

• Apa-apa maklumat lain yang mungkin anda perlukan untuk memastikan bahawa mereka mengendalikan butir-butir diri anda dengan adil. Sebagai contoh butir-butir sesuatu pertubuhan atau orang lain yang mereka akan menzahirkan butir-butir peribadi anda.

• Jika sesebuah organisasi atau individu telah mendapat data peribadi anda dari orang lain yang tidak secara langsung daripada anda, mereka mesti memberitahu anda bahawa, mereka ada memegang data peribadi anda dan memberitahu pengguna data yang asal.

2. Hak anda untuk mengakses data peribadi sekiranya perlu.

• Pengguna atau pihak yang mengurus atau memegang data anda mestilah :

• Mengumpulkan data peribadi dengan cara yang adil dan mengikut perundangan;

• Data peribadi hanya akan disimpan untuk maksud-maksud yang ia dikumpul;

• Data peribadi yang disimpan untuk maksud tertentu pada masa ia dikumpulkan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain;

• Data peribadi tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak (disclosed) melainkan dengan tujuan ia diperolehi dan persetujuan subjek data;

• Data peribadi hendaklah tepat, kemaskini dan berkaitan dengan kegunaannya;

• Data peribadi tidak akan disimpan lebih lama dari tempoh yang diperlukan;

• Seseorang individu mempunyai hak untuk dimaklumkan mengenai data yang disimpan dan boleh capaian kepada data tersebut;

• Usaha-usaha untuk memastikan keselamatan data adalah menjadi tanggungjawab pengguna data;

• Maklumat mengenai dasar penyimpanan data peribadi hendaklah terbuka kepada awam.

3. Hak anda untuk membetulkan data peribadi kita yang telah diproses

• Jika terdapat organisasi atau individu yang memegang data peribadi anda, maka anda boleh meminta mereka untuk mengesahkan hal ini. Mereka mestilah memberitahu anda tujuan mereka memegang data peribadi tersebut. Anda boleh meminta untuk mendapatkan maklumat ini secara percuma.

4. Hak anda untuk menarik balik kebenaran memproses data peribadi tersebut sekiranya merasa sudah tidak berkepentingan lagi terhadap perkara berkenaan.

• Sekiranya anda mendapati bahawa pengguna data menyimpan maklumat tentang diri anda yang tidak betul, anda boleh meminta mereka untuk menukar atau memadam butiran tersebut.

• Begitu juga jika anda merasakan bahawa organisasi atau orang yang mempunyai alasan yang sah untuk memegang data peribadi anda, atau mereka telah mengambil butiran ini dengan cara yang tidak adil, anda boleh meminta mereka untuk mengubah atau memadam butiran ini.

• Dalam kedua-dua kes, anda boleh menulis kepada organisasi atau orang tersebut, menjelaskan bahawa terdapat butir-butir yang tidak betul.

5. Kita perlu tahu akan hak kita untuk menghalang pemprosesan yang mungkin menyebabkan kerosakkan atau tekanan (distress).

• Anda juga boleh meminta pengguna data supaya tidak menggunakan butir-butir peribadi anda untuk tujuan selain daripada tujuan utama mereka.

• Anda boleh menulis kepada organisasi atau orang tersebut, menjelaskan bahawa terdapat butir-butir yang tidak betul dan mengambil tindakan membetulkannya.

6. Kita juga adalah berhak untuk menghalang pemprosesan bagi maksud  pemasaran langsung.

• Jika pemegang data memegang butir-butir peribadi tentang anda untuk tujuan pemasaran langsung, anda boleh meminta mereka untuk mengeluarkan butir-butir tersebut. Anda boleh melakukan ini secara bertulis kepada organisasi atau orang yang memegang butiran tersebut. Mereka mesti memberitahu anda jika telah melakukan mengikut permintaan anda.

7. Hak untuk kebebasan dari membuat keputusan automatik

• Secara umumnya, keputusan penting tentang anda berdasarkan butir-butir peribadi anda harus mempunyai input manusia dan tidaklah dijana secara automatik oleh komputer, melainkan jika anda bersetuju dengan ini. Sebagai contoh, keputusan itu mungkin kebolehpercayaan.

8. Hak untuk menolak panggilan memasaran langsung atau mel

• Jika anda tidak mahu menerima panggilan telefon daripada pemasaran langsung, anda perlu menghubungi pembekal perkhidmatan telefon anda. Mereka akan  membuat nota permintaan anda. Anda juga boleh menolak panggilan itu dengan meminta pemanggil supaya tidak menghubungi anda lagi.

• Organisasi mesti mendapat kebenaran anda sebelum mereka menghubungi anda melalui mesin faksimili atau dailan automatik untuk tujuan pemasaran langsung..

• Sebuah organisasi juga perlu mendapatkan kebenaran anda sebelum mereka menghantar mel elektronik ke komputer anda atau sebelum mereka menghantar pesanan teks ke telefon bimbit anda.

Jika kome hendak mengadu mengenai data anda dibocorkan, boleh hubungi:

Aras 6, Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia,
Lot 4G9, Persiaran Perdana, Presint 4 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 Putrajaya, Malaysia.

Tel : 03-8911 5000
Faks : 03-8911 7959
Emel : aduan@pdp.gov.my

Kaunter Pendaftaran : 03-8911 5113/7919/5119/7925/7802.

Rasanya cukup maklumat yeop berikan. Kalau ingin lebih lanjut boleh layari www.pdp.gov.my atau Facebook Jabatan Perlindungan Data Peribadi

5 thoughts on “Adakah Diri Dilindungi?

  1. Bahrain

    Harap data den tidak bocor oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Reply
  2. Green Leaf

    Benda ni penting sebenarnya untuk semua pengguna internet. Malah dalam Facebook pun kita tak selamat, walaupun kita ada delete sebarang gambar tapi dalam simpanan mereka gambar itu sebenarnya tidak terhapus…Nauzubillah daripada digunakan untuk perkara tidak baik…

    Reply
  3. Izzuddin Fauzi

    Tapi bila difikirkan balik, masih adakah data yang dilindungi masa ini.

    Reply
  4. titan

    aktiviti phishing masih berleluasa setiap hari. Jadi, kita kena lebih berhati-hati. BUat report jika perlu.

    Reply

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *