Fakta: Kereta Dalam Filem Paling Popular Di Hollywood

By | Jun 28, 2016

Sukar sekali untuk memilih sepuluh kereta paling popular apabila begitu banyak kereta yang menjadi legenda dalam filem dan siri televisyen. GMC Vandura dari “The A-Team”, Mark II Jaguar dari “Inspector Morse”, Ferrari 308 GTS dari “Magnum P.I”, malah raja bagi kenderaan filem seram, 1958 Plymouth Fury yang dipanggil Christine dari filem dengan judul yang sama. Terlalu banyak pilihan, namun akhirnya kami telah memilih sepuluh yang terbaik berdasarkan sepuluh yang paling popular di kalangan penonton kita.

1981 DeLorean DMC-12 (“Back To The Future”)

Siapa yang tidak pernah menonton BTTF dan berharap mereka memiliki mesin masa ini? Filem ini merupakan sebuah filem klasik budaya pop lakonan Michael J. Fox dan Christopher Lloyd, tetapi tentu sekali ikon sebenar filem ini adalah kereta mesin masa 1981 DeLorean DMC-12 milik Doc Brown. DeLorean DMC-12 telah direka cipta oleh jurutera Pontiac, Bill Collins sebelum konsepnya diolah kembali oleh Lotus England – menjadikannya sebuah kereta coupe dengan dua tempat duduk, enjin belakang, casis backbone keluli X-member, sistem gantungan bebas dan panel luar keluli anti-karat. Dalam BTTF, kereta Doc Brown ini diubah suai menjadi mesin masa menggunakan kapasitor flaks dengan reaktor nuklear berasaskan plutonium yang menjana kuasa 1.21 gigawat – membolehkan kereta ini merentas masa dalam kadar 88 kilometer sejam.

Banyak sungguh terma kejuruteraan mekanikal yang kita belajar hari ini kan?

Batmobile (“Batman”)

Ada banyak versi batmobile sejak ia mula diperkenalkan melalui komik DC, tapi kita akan fokus pada Batmobile dari trilogi Christopher Nolan. Batmobile yang digambarkan dalam filem-filem Batman arahan pengarah tersohor Christopher Nolan ini menonjolkan lebih banyak ciri tempur daripada gaya (berbanding kebanyakan filem Batman sebelum ini). Ia tidak memiliki gandar hadapan kerana Nolan mendapat inspirasi Batmobile-nya dari filem “Blade Runner” arahan Ridley Scott. Batmobile Nolan ini juga merupakan sebuah kenderaan yang diubah suai daripada rekaan Lamborghini dan sebuah kereta kebal. Namun begitu, apa yang lebih penting ialah kereta ini boleh berubah dari sebuah kereta tempur kepada sebuah batpod!

Tiada apa yang lebih hebat dari itu.

Mark IV British Leyland Mini 1000 (“Mr Bean”)

Ikon lucu Mr. Bean lakonan Rowan Atkinson dan kereta mininya bagaikan lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan. Anda tidak boleh meletakkan Mr. Bean di dalam kereta lain kerana ia tidak akan memperlihatkan karakternya sebaik sebuah British Mini. Apakah seni di sebalik kereta ini? Ia kompak, boleh diharap, praktikal dan menjimatkan. Kompak, sesuai dengan sikap Mr. Bean yang tidak suka berkongsi. Praktikal, sesuai dengan kemahiran Mr. Bean yang boleh mengubah apa saja menjadi benda yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Jimat, kerana dia manusia yang paling berjimat (atau kedekut) dalam dunia. Boleh diharap, kerana siapa saja tentu tahu betapa sunyinya hidup Mr. Bean.

2009 Chevrolet Camaro (“Transformers”)

Sekalipun pada awalnya watak Bumblebee diperkenalkan sebagai sebuah Camaro 1976 berwarna kuning yang sudah buruk, penonton bersorak apabila ia berubah menjadi sebuah Chevrolet Camaro 2009 pada pertengahan filem. Chevy Camaro ini merupakan generasi kelima produk Chevrolet yang dikeluarkan General Motors sejak tahun 1967. Ketika ia dipilih untuk menggambarkan watak Bumblebee dalam bentuk kenderaan, beberapa buah kereta prop filem dibina oleh Saleen menggunakan acuan kereta konsep yang asal seperti yang dibekalkan oleh General Motors. Disebabkan General Motors hanya memberikan sebuah sahaja kereta Camaro, prop yang lain dibuat menggunakan kereta GTO Pontiac yang diubah suai mengikut bentuk Camaro. Sekiranya anda seorang daripada lelaki dewasa yang cemburu pada Shia LaBeouf kerana memandu sebuah Camaro ditemani Megan Fox, sila angkat tangan.

1959 Cadillac Miller-Meteor (“Ghostbusters”)

The Ectomobile atau lebih dikenali sebagai Ecto-1 boleh dikatakan sebagai antara ikon terpenting bukan manusia dalam filem “Ghostbusters” selain daripada si hijau Slimer. Ecto-1 merupakan sebuah kereta keluaran Sayers & Scovill yang pada asalnya menghasilkan kenderaan yang digunakan untuk majlis pengebumian! Kereta Cadillac Miller-Meteor 1959 milik Venkman, Spangler dan Stantz ini merupakan kombinasi ambulans dan kereta mayat dengan muatan hadapan limosin. Tapi siapa peduli? Yang paling penting, inilah satu-satunya kenderaan yang boleh memuatkan hantu di dalam tangki minyak!

1982 Pontiac Trans Am (“Knight Rider”)

“Knight Rider” bukanlah sebuah filem tetapi kereta Pontiac ini terlalu terkenal dan sukar untuk diabaikan. Siri TV lakonan David Hasselhoff ini merupakan sebuah siri TV popular dari tahun 1982 ke 1986. Ia cuba dihidupkan kembali pada tahun 2008 tetapi tidak berjaya mendapat tempat di hati peminat. Mana tidaknya, anda tidak boleh memisahkan The Hoff dari watak Michael Knight. Tiada orang lain yang boleh berdiri di sebelah KITT, kereta bijak yang boleh bercakap ini (lakon suara William Daniels) dan tidak tenggelam dari pandangan selain daripada Hasselhoff. KITT (atau nama sebenarnya Knight Industries Two Thousand… apa sajalah!) merupakan sebuah kereta jenis Pontiac Trans Am 1982. Semua kanak-kanak yang lahir tahun 70-an dan 80-an pasti akan teruja setiap kali mendengar lagu tema siri TV ini dan melihat kehebatan KITT yang mempunyai pelontar api, artificial intel, pengesan bom, pelancar gas pemedih mata dan banyak gajet menarik lain.

1969 Dodge Charger R/T (“Dukes Of Hazzard”)

Jika anda peminat “Dukes of Hazzard” – sama ada siri TV atau filemnya, anda pasti kenal General Lee. General Lee merupakan sebuah kereta Dodge Charger ubah suai yang dipandu oleh sepasang sepupu Bo dan Luke Duke di dalam siri ini. General Lee merupakan sebuah kereta otot yang terkenal bagi segala jenis lagak ngeri dan aksi kejar-mengejarnya. Tiada kereta lain yang dilanyak, ‘diterbangkan’, dilanggar dan dikerjakan seperti General Lee. Kereta ini mendapatkan namanya daripada Jeneral Robert E. Lee, seorang jeneral tentera Konfederasi dari selatan. Senang kata ia merangkumi segalanya tentang orang selatan Amerika Syarikat, dengan bendera Konfederasi di bumbungnya dan hon keretanya yang memainkan melodi baris pertama lagu “Dixie”.

1963 Aston Martin DB5 (“Goldfinger”)

The 1963 Aston Martin DB5 merupakan kereta DB4 yang lebih baik. Siri DB mendapat namanya daripada David Brown (bos Aston Martin tahun 1947 – 1972). Ia menjadi terkenal selepas digunakan oleh watak James Bond versi Sean Connery dalam “Goldfinger”. Sekalipun pencipta James Bond, Ian Fleming memilih DB Mark III sebagai kereta pilihan Bond dalam novelnya, filem “Goldfinger” memilih DB5 kerana ia merupakan model baru ketika filem itu dibuat. Kereta yang digunakan dalam filem merupakan kereta prototaip asli DB5 dan pada tahun 2010, sebuah daripada DB5 yang digunakan dalam “Goldfinger” telah dijual pada harga AS$4.1 juta (RM12.5 juta)

Nun jauh di barat sana, seorang jutawan sedang berangan menjadi James Bond dengan kereta vintaj barunya.

1964 Volkswagen 1200 Beetle (“The Love Bug”)

Semua orang kenal Herbie dan pemandunya Jim Douglas. Filem “The Love Bug” amat popular sehinggakan pihak Walt Disney telah mengeluarkan empat buah sekuel dan yang terakhir sekali berjudul “Herbie: Fully Loaded” lakonan Lindsay Lohan. Tapi tahukah anda sejarah kereta ini?

Pada tahun 1933, Adolf Hitler mengarahkan Ferdinand Porsche untuk menghasilkan sebuah Volkswagen (dalam bahasa Jerman bermaksud ‘kereta marhaen’). Erwin Komenda, ketua pereka Porsche menghasilkan rekaan dan stail kereta tersebut dan bajetnya dikeluarkan oleh Third Reich. Hitler menamakannya KdF-Wagen. Walau bagaimanapun, peperangan meletus sebelum pengeluaran dapat dimulakan. Ia hanya dimulakan selepas kekalahan Nazi.

Selepas peperangan, kilang Volkswagen telah diserahkan kepada pihak British pada tahun 1945. Ia dibuka semula oleh pegawai tentera British bernama Mejar Ivan Hirst (1916–2000). Dipendekkan cerita (yang dipenuhi aksi mengeluarkan bom dan menyelamatkan kilang) Hirst meyakinkan tentera British untuk menempah 20,000 buah kereta ini dan menjelang Mac 1946, kilangnya menghasilkan 1000 buah kereta setiap bulan. Ia diperkenalkan semula dengan nama Volkswagen dan bandarnya Wolfsburg.

Ironi – Volkswagen Type 1 atau Beetles dihasilkan pada tahun 1945 hasil idea seorang diktator dan akhirnya menjadi kereta popular kumpulan hippi Amerika.

Hitler pasti menangis di dalam kuburnya.

Toyota Trueno AE86 (“Initial D”)

Kereta AE86 merupakan kereta coupe ringan keluaran Toyota Corolla Levin and Toyota Sprinter Trueno yang diperkenalkan pada tahun 1983. Kod casis dalamannya “AE86? menggambarkan keseluruhan kenderaan tersebut. “A” mewakili enjin kereta tersebut (siri 4A), “E” mewakili Corolla, “8? mewakili generasi kelima siri E80 dan “6? mewakili kepelbagaian generasi model ini. Ketepikan saja soal casisnya, kerana bagi mereka yang tidak arif tentang model kereta, Trueno AE86 adalah kereta milik Fujiwara Takumi yang digunakan untuk perlumbaan drift dan penghantaran tauhu dalam filem “Initial D”.

Sumber: Jom Berita

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *