Karat cacatkan badan kereta

By | Jun 28, 2016

Karat yang tidak dikawal boleh merebak.

MASALAH karat boleh mencacatkan badan kereta. Ia boleh berlaku melalui pelbagai cara; kesan calar kecil akibat tergores dengan basikal anak, troli pasar raya hingga pada kesan tebuk kecil yang menembusi badan kereta.

Tahukah anda, hatta tahi lembu yang lembap pun, jika terlanggar dan melekat pada badan kereta juga boleh menyebabkan bahagian kereta berkarat jika dibiarkan dalam jangka panjang!

Kebiasaannya, logam digunakan untuk membina badan kereta adalah teguh serta kuat dan tahan sepanjang hayat jika dilindungi dengan betul. Tapi, jika membiarkan bahagian ini terdedah pada unsur pencemaran alam, ia boleh membentuk kesan karat serius.

Kesan karat yang tidak dikawal akan merebak, malah jika tidak diambil peduli, kos membaik pulih kesan karat menjadi mahal.

Karat berlaku apabila ada kesan kelembapan pada logam binaan kereta. Walaupun bahagian logam binaan kereta dilindungi lapisan cat dasar dan lapisan cat metalik, dalam jangka panjang kesan calar akibat goresan atau pergeselan batu kecil boleh menyebabkan lubang kecil dan merosakkan bahagian permukaan cat kereta.

Lubang kecil ini membolehkan air menembusi bahagian logam berkenaan dan berlaku karat.

Antara tanda karat adalah terbentuknya kesan gelembung kecil di bawah lapisan cat kereta dan pemilik kenderaan seharusnya tidak biarkan masalah itu berlaku.

Semua kenderaan terdedah kepada elemen yang boleh menyebabkan karat terutama di bahagian bawah kereta.

Bahagian bawah ini akan mengalami goresan, bercalar dan berlanggar dengan pelbagai objek yang melaluinya. Namun, ada kenderaan yang kurang mengalami masalah berkarat kerana ia dilindungi lapisan cat dasar. Lapisan perlindungan ini dapat melindungi bahagian ini dalam jangka waktu satu hingga tiga tahun.

Pemandu tak bertanggungjawab akan memandu dengan kasar dan tidak pedulikan komponen penting pada kereta. Jika bahagian bawah kereta kerap berlanggar dengan lubang atau bonggol jalan, ia akan menyebabkan komponen bawah seperti ekzos serta bawah enjin alami perlanggaran yang kerap.

Ia boleh menyebabkan kesan bocor dan akan bermula dari lubang kecil hingga jadi lebih besar.

Baiki sebelum jadi teruk

Apabila beberapa bahagian kenderaan berkarat, kereta perlu dibaiki sebelum ia menjadi lebih teruk. Antara tipnya, jika mengesan tanda karat, buang dengan pisau kecil. Kikis kesan karat itu bersama lapisan cat. Lakukan dengan cermat supaya tidak kena bahagian lain.

Bersihkan bahagian itu menggunakan air suam dan sabun pencuci khas kereta untuk menanggalkan kesan ‘wax’ dan daki kotoran. Tutup sebarang lubang yang terjadi menggunakan ‘filler (bahan tampalan) berwarna putih atau warna tanah untuk diratakan di permukaan ini.

Apabila kering, gunakan kertas pasir untuk digosokkan pada permukaan yang ditampal tadi untuk merata serta melicinkannya. Bila telah rata dan bersih, sapukan cat asas bertujuan melindungi logam. Ia boleh memberi perlindungan berpanjangan bagi mencegah karat dari berulang.

Setelah cat asas betul-betul kering, barulah boleh disapu cat kereta. Gunakan berus yang disertakan atau berus halus supaya dapat mengawal dan mengecat bahagian itu dengan teliti.

Biarkan lapisan pertama ini kering sebelum diulangi sehingga lapisan permukaan kelihatan rata.

Untuk penjagaan secara umum, langkah berikut boleh dilakukan:
a) Periksa selalu lubang saliran pada rangka, lantai dan bahagian bawah kereta supaya lembapan tidak terperangkap.
b) Pastikan bahagian bawah kereta disembur dengan pancuran air yang kuat, sebulan sekali.
c) Buangkan objek yang menyerap lembapan dari bahagian dalam kereta untuk elak berkarat.

Sumber: Permotoran

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *