Kisah Marah-Marah. Kenapa Nak Marah?

By | Januari 16, 2019

MARAH ITU UNTUK SIAPA?

Syaqiq al Balkhi, seorang ahli sufi yang terkenal di daerah Khurasan. Nama asalnya Abu Ali Syaqiq bin Ibrahim al-Balkhi.

Suatu hari, dia membeli sebiji tembikai. Sebaik sahaja sampai di rumah, tembikai itu diserahkan kepada isterinya.

Tembikai tadi dibelah untuk dijadikan santapan sang suami. Tapi si isteri mendapati isinya tidak elok. Melihat keadaan itu, isteri Syaqiq marah dan tidak berpuas hati.

Tatkala mendengar si isteri yang tidak henti-henti berleter, Syaqiq menemuinya lalu berkata, “Kepada siapakah kau menghamburkan kemarahanmu itu? Adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Penciptanya?”

Isteri hanya mendiamkan diri. Lalu si suami terus berkata, “Penjual tentu mahu menjual barang terbaik. Begitu juga dengan pembeli. Sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Sama juga dengan penanam. Mahu tanamannya membuahkan hasil yang baik. Ternyata, kemarahan itu kau tujukan kepada Pencipta tembikai ini. Sudah-sudahlah tu. Bertakwalah kau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya.”

Kata-kata suami itu membuatkan isteri Syaqiq terdiam lalu menangis kerana kemarahannya yang melulu, tanpa berfikir terlebih dahulu. Si isteri lantas bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu.

Adakalanya kita marah dengan apa yang terjadi kepada kita, tapi sebenarnya kemarahan itu sebenarnya ditujukan kepada siapa? Bersama kita renungkan…

Dipetik dari X-Mastika

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *