Petua Untuk Ibu Bapa Berhari Raya

By | Julai 19, 2014

hariraya1. Duit Raya Sedekah – Duit raya yang dihulur mungkin suatu ‘paksaan’ bersedekah. Sebenarnya syarat bersedekah ialah mesti diberi dengan ikhlas sekadar termampu. Ada ibu bapa yang memberi duit raya kerana orang lain memberikan duit raya kepada anak mereka. Jika tidak dibalas takut berkecil hati, lantas memberi kerana terpaksa atau menutup malu. Pemberian sedekah begini tentu kurang daripada segi keikhlasannya. Ada juga yang berniat untuk menunjuk-nunjuk ketika memberi duit raya kepada kanak-kanak. Niat perlu diperbetulkan. Seeloknya duit dimasukkan di dalam sampul agar jumlah wang yang diberi tidak dapat dilihat orang lain.

2. Kawal Suara Ketika Berbual – Keseronokan berbual terutama bertemu rakan juga ada kalanya membuatkan kita tidak sedar mengeluarkan suara yang kuat. Kadang-kadang, ia boleh mengganggu orang lain. Lebih parah, andai perbualan itu berkisar kepada umpatan atau perkara yang boleh menyakitkan hati tuan rumah atau orang lain. Keseronokan berbual mengenai perkembangan politik tanah air ada kalanya agak sensitif apabila terdapat orang politik pihak lawan yang hadir ketika itu. Sebaiknya sebagai tetamu, kita seharusnya mengawal suara dan berbual pada perkara yang dirasakan boleh dikongsi bersama tanpa menimbulkan sensitiviti.

3. Memelihara Pandangan – Sebagai tetamu, sebaiknya elakkan memandang ke sana ke sini. Sekali sekala itu wajar. cuma, pandanglah perkara perlu saja seperti memandang wajah tetamu yang datang dengan pandangan ikhlas bersama senyuman. Memandang tetamu yang lain berkali-kali sambil berbisik dengan rakan sebelah juga perlu dielakkan. Ini mungkin menimbulkan rasa tidak selesa pada orang yang berkenaan. Lebih teruk jika membabitkan umpatan kepada orang lain.

4. Hadkan Masa – Kadang-kadang keseronokan bertemu kawan lama membuatkan kita tidak sedar sudah lama berada di sana. Kunjungan yang sepatutnya berlangsung dalam 20 hingga 30 minit akhirnya sehingga tiga jam. Rasanya, tempoh itu terlalu lama. Ini mungkin menimbulkan rasa tidak senang atau tidak selesa kepada tuan rumah. Lebih malang andai ruangan rumah atau kerusi tetamu yang disediakan begitu terhad. Kehadiran kita yang begitu lama dalam majlis itu menghalang orang lain duduk. Tuan rumah mungkin merasa tidak selesa apabila terpaksa berulang kali melayan kita dengan perbualan atau layanan yang sewajarnya diberikan kepada tetamu baru.

5. Bilangan Kehadiran Yang Sederhana – Membawa ahli keluarga dan rakan ke satu majlis rumah terbuka memang seronok. Namun, kedatangan rombongan yang ramai mungkin akan menjadi satu kesulitan kepada tuan rumah apatah lagi kehadiran kita di majlis itu tidak diberitahu lebih awal. Manalah tahu jumlah makanan disediakan ala kadar saja. Hal sekecil ini wajar diambil perhatian untuk mengelak masalah kepada tuan rumah. Siapa tahu, disebabkan kehadiran yang ramai, tuan rumah boleh bergaduh suami isteri disebabkan suasana kelam kabut.

6. Layan Kanak-Kanak – Bagi ibu bapa, luangkan sedikit masa untuk melayan kanak-kanak yang bertandang ke rumah. Tidak perlu menunggu ‘rumah terbuka’ baru hendak melayan mereka. Pamerkan kemesraan dan sifat kasih sayang kepada anak-anak yang datang. Jika anda melayan anak orang lain dengan baik, pastinya anak anda juga akan dilayan dengan baik oleh orang lain.

Petua dari ENSAIKLOPEDIA  PETUA MELAYU LAMA

One thought on “Petua Untuk Ibu Bapa Berhari Raya

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *