Sampah jadi seni

By | Oktober 18, 2015

 
TERKENANG ZAMAN KANAK-KANAK…O’Brien bersama hasil kerja yang digemarinya, raifal tempur M4.

DAYA kreativiti seorang artis membolehkannya memberi makna baru kepada objek ‘pakai buang’ apabila dia membina pelbagai rekaan menggunakan kadbod terpakai.

Hasil ketelitiannya, Mark O’Brien mencantumkan kotak terbuang untuk membentuk objek tertentu dengan saiz sebenar.

Antara karyanya yang menakjubkan ialah kamera, kasut, topi, pistol dan kelengkapan di meja makan.

KARYA DIIKTIRAF… peminat seni melihat hasil kerja tangan O’Brien di sebuah galeri.

KAMERA SLR… pastinya bukan untuk foto digital.

KOMPUTER RIBA… kalau boleh diguna, pasti ia komputer paling ringan pernah dihasilkan.

Karya O’Brien kini banyak dipamerkan di galeri seni, selain sesetengahnya menjadi penghias beberapa sekolah dan panggung teater.

Untuk menyiapkan sebuah kamera, O’Brien memerlukan masa dua hari menggabungkan pelbagai potongan kadbod secara teliti. Dia juga mahir membentuk alat muzik selo dan raifal M4.

Kata O’Brien, sebenarnya ramai pihak tidak menyedari kadbod adalah bahan yang hebat.

“Paling asas, ia percuma dan sangat membantu artis muda untuk berkarya tanpa mengeluarkan modal,” katanya.

Selain itu, kata O’Brien, ia juga dekat dengan setiap orang kerana ramai daripada kita pernah bermain kadbod ketika zaman kanak-kanak.

Berasal dari Wigan, O’Brien berkata, dia mula melakukan eksperimen dengan kadbod ketika berusia 17 tahun.

“Saya memang suka membentuk pelbagai objek sejak kecil, seperti model kapal terbang,” katanya.

Ditanya objek pertama berjaya dibentuknya dengan kadbod, O’Brien berkata: “Rasanya, senapang.” Memiliki bakat semula jadi sejak awal, ia kemudian dikembangkan apabila O’Brien melanjutkan pelajaran dalam bidang grafik, seni dan reka cipta di Universiti Leeds.

Kata O’Brien, ia sesuatu yang baru dan bukan kursus seni tradisional.

“Bersama penuntut lain, kami mendapat kebebasan melakukan eksperimen guna pelbagai benda,” katanya.

Selepas melakukan pelbagai percubaan, pensyarah O’Brien melihat keunikan pada karyanya dan memberi galakan supaya ia dikembangkan dengan betul.

Bermula secara kecil-kecilan, kini O’Brien membuka studio sendiri di Manchester, selain mempamerkan karyanya di pelbagai galeri serta kedai.

“Banyak karya saya dibeli dan sesetengahnya dihantar ke Amerika Syarikat untuk dipamerkan atau dijual,” katanya.

Menurut O’Brien, antara pelbagai objek ciptaan, kebanyakan orang berminat kepada kasut dan topi.

Katanya, ketika berkarya, dia sering mencari barangan yang mempunyai nilai kebudayaan dan menghasilkannya secara kreatif.

“Kadangkala saya melakarkan dulu objek berkenaan, tetapi pada masa lain, saya terus memotong kadbod dan membinanya,” katanya.

Disebabkan kreativitinya yang unik dan tinggi itu, sambutan diberi terhadap karya seumpama itu begitu menggalakkan.

Satu daripada gitar kadbod diciptanya kini dipamerkan di sebuah galeri di AS, manakala seseorang di Dubai menggantungnya di rumah.

Tidak lama lagi, ciptaan O’Brien akan dipamerkan di London.

“Kedai itu menjual perabot buatan tangan. Justeru itu, saya perlu menyiapkan pelbagai peralatan pertukangan kayu, seperti gergaji dan ragum,” katanya.

O’Brien berkata, dia sangat gembira apabila karya seninya digemari dan dihargai.

“Saya tak fikir saya terlalu aneh,” katanya.

Sumber: Metro Ahad, 18/03/2012

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *